Wednesday, August 24, 2011

DIMAKAH KITA??

Hari ini bile aku buka email aku... satu2 aku teliti mata aku tertumpu pada cerita nie.... terdetik dalam hati aku nk kongsi cerita menarik ini bersama pembaca semua... semoga ianya membawa manfaat kepada semua... insyaAllah...


JIKA golongan wanita bersubang, bergelang dan memakai rantai emas dihiasi intan berlian, Sham Kamikaze, 35, pun apa kurangnya. Perhiasannya penuh satu kotak. Di pentas pula bergaya dengan kemeja-T gambar tengkorak dan kehebatannya memetik gitar menjadi pujaan ramai gadis.


Namun apabila hidayah tiba, Sham atau nama penuhnya Shamril Mohamed Salleh dengan rela hati sanggup meninggalkan semua itu. Segala-galanya datang tanpa dirancang. Hampir dua bulan lalu, Sham mengajak rakannya memandu hala ke utara tanah air sambil berazam untuk berhenti solat setiap waktu di masjid yang mereka temui.


Dalam perjalanan itu ketika bersolat di Masjid Alwi, Kangar, Perlis, dia terserempak dengan Imam Satu, Masjidil Haram, Sheikh Abdul Rahman As Sudais dan bersalam dengannya. Sedangkan mereka yang mengerjakan umrah atau haji di Makkah pun susah hendak bertemunya, apatah lagi untuk berjabat tangannya.


Sesungguhnya pertemuan yang tidak disangka itu meniupkan angin perubahan pada dirinya, langsung Sham meninggalkan segala perkara yang menjadi kebanggaannya di dunia selama ini.


Dengan wajah berseri dan perkataan syukur tidak lekang di bibir, Sham menceritakan segala yang dirasainya kini kepada wartawan SELEBRITI, NOR AKMAR SAMUDIN. ZAMAN jahil saya dulu, hendak solat pun terasa berat kaki tangan. Kalau ‘buat’ pun mesti lambat. Sudah dekat hampir masuk waktu Asar, baru saya solat Zuhur dan sebaik habis, berkumandang pula azan Asar.


Dalam hati merungut, ‘alamak, baru solat Zuhur, dah nak solat Asar pula?’ Kadangkala bila dengar azan pun masih buat tak tahu. Rasa macam tak ada makna apa-apa. Namun sejak mendapat hidayah Allah SWT, rasa tak sabar menunggu azan. Saya bersiap awal ke masjid sebelum kedengaran azan. Terasa damainya hati apabila kita ikhlas beribadah kerana-Nya. Saya memanjatkan kesyukuran tidak terhingga kepada Ilahi kerana memberikan hidayah pada usia masih muda dan mendapat petunjuk dalam keadaan saya masih sihat dan senang.


Kebanyakan yang kita dengar, ada yang baru sedar apabila dihimpit kesusahan. Daripada pengalaman saya, jika Allah SWT hendak memberi petunjuk, Dia tidak kira siapa, di mana dan berapa usianya. Kalau diingatkan zaman jahil dulu, apa yang saya tak buat. Orang muda yang ingin mencuba segala-galanya. Kalau bab berfesyen, usah ceritalah. Aksesori saya mengalahkan wanita, saya pakai anting-anting, gelang dan rantai.


Bukan anting-anting biasa, tetapi anting-anting berlian yang harganya mencecah ribuan ringgit. Siap ada tempat khas untuk menyimpan semua perhiasan itu. Dalam bab berpakaian pula, terutama kalau buat show, kemeja-T bergambar tengkorak menjadi pilihan. Agaknya orang alim yang tengok saya pakai baju itu mengucap sakan dan berdoa semoga saya berubah. Bila solat Jumaat, saya tanggalkan anting-anting tetapi saya melakukannya bukan kerana Allah SWT tetapi kerana malu pada orang. Sekarang saya suruh isteri (Farazali Abdul Jabar, 29) beri perhiasan itu pada orang tanpa sedikit pun rasa rugi. Bukan tak tahu orang lelaki haram memakai barang kemas, tetapi waktu itu manalah saya kisah.


Dengan perubahan ini, saya mahu menjalani kehidupan seharian dengan mencontohi cara hidup Rasulullah SAW. Sabda baginda: “Hidupkan aku dalam keadaan fakir dan matikan aku dalam keadaan fakir.” Namun bukan pula kita tidak boleh mencari harta, namun harta diperoleh itu hendaklah digunakan pada jalan benar, seperti bersedekah. Saya sangat bersyukur kerana sejak menceburi bidang seni, rezeki saya tidak pernah putus. Tak perlu saya cari kerja, duduk di rumah saja menanti panggilan telefon. Saya sudah puas merasai nikmat dunia dan tiba masa saya hidup dalam keadaan sederhana.


Bagaimanapun, sejak dulu saya tidak masalah untuk bersedekah kerana ia diajar emak ayah dan saya suka buat kerja kebajikan. Dalam banyak amalan, bersedekah adalah yang paling senang di mana kita senyum pada orang pun, sudah dikira sedekah. Hebatnya amalan bersedekah ini. Orang paling gembira bila saya berubah adalah isteri dan emak saya. Isteri saya kata: ‘Syukur, Allah SWT sudah makbulkan doa saya’. Isteri saya dulu penyanyi latar dan dia dapat hidayah lebih awal. Setiap waktu dia mengingatkan saya untuk bersolat dan jawapan yang selalu saya bagi, ‘nantilah dulu’.


Bayangkan betapa sukarnya seorang isteri untuk membimbing suaminya kerana dia ketua keluarga. Kalau cakap lebih-lebih nanti, takut suami naik angin. Hikmah lain, kawan saya bertambah ramai. Tak kira apapun bangsa kawan saya, mereka gembira dengan cara hidup saya sekarang. Kalau dulu di Facebook, ada lebih kurang 5,000 peminat, sekarang hampir 12,000 orang. Ada yang kata, dia mula minat saya sejak saya berubah. Ada ramai orang baik di luar sana yang mahu mendalami dan mendekati Islam.


Pun begitu, pada awal perubahan itu, dugaan paling hebat apabila hendak bangun solat Subuh. Terasa beratnya kelopak mata kerana saya selalu berjaga hingga jam dua tiga pagi. Sekarang, loceng jam belum berbunyi, saya dah terjaga. Mula-mula itu sakit kepala dibuatnya kerana tak cukup tidur, tetapi sekarang dah biasa. Hidayah itu tidak boleh dicari tetapi ia datang sendiri. Kini, apapun yang saya lakukan kerana Allah SWT. Saya mula bermain muzik pada 1993 dan sekarang saya lebih suka bekerja di belakang tabir. Tiada lagi terkinja-kinja di pentas. Melangkah saja ke persembahan pentas atau konsert, dosa sudah menunggu kerana melihat aurat wanita tidak bertudung dan berpakaian seksi.


Dulu, kalau saya memandu di sekitar Jalan Bukit Bintang, mata meliar memerhatikan wanita pelbagai bangsa yang lalu-lalang. Berjalan dengan isteri, tangan kiri menggenggam erat tangannya tetapi mata masih menjeling gadis di seberang sana . Sekarang isteri saya senang hati melepaskan saya pergi ke manapun. Cukuplah, zaman itu sudah berlalu. Setiap orang pasti melakukan kesilapan dan moga Allah SWT mengampunkan dosa saya. Bagaimanapun, yang mana projek dipersetujui sebelum saya berubah, saya akan selesaikan. Malam tadi saya muncul di konsert mingguan Akademi Fantasia 9 sebagai juri kerana janji yang dibuat sudah lama.


Saya masih bermain muzik, namun cukuplah di belakang tabir dan sedia bekerjasama dengan mana-mana kumpulan nasyid di negara ini. Jika mereka mengadakan persembahan bercorak Islamik, saya sudi bekerjasama. Saya memakai ketayap atau bersongkok serta berjubah, bukan untuk menunjuk-nunjuk pada orang tetapi sebagai peringatan buat diri sendiri.


Mengingatkan ketayap di kepala sekali gus menghalang saya untuk melakukan perkara tidak baik. Jalan pun lebih banyak tunduk untuk menjaga pandangan. Melihatkan jubah putih tersarung di badan menyekat langkah saya kembali ke jalan lama. Saya betul-betul bertaubat dan mudah-mudahan Allah SWT tetapkan hati saya berada di jalan yang ditetapkan-Nya sehingga ke akhir hayat saya.


Doa saya setiap hari: “Ya Allah, jangan kau bolak-balikkan hati ku selepas Engkau berikan hidayah.” Untuk menambah ilmu agama yang masih cetek, saya pergi kuliah agama, mendengar ceramah, membaca buku, kitab, mendalami al-Quran dan memahami tafsirannya. Saya pun tidak mahu berubah secara

ekstrem, biarlah perlahan-lahan.

Ada yang panggil saya berceramah tetapi ilmu yang ada belum sampai ke tahap itu. Kalau hendak bercerita macam mana saya mendapat hidayah, itu boleh. Sabda Rasulullah SAW: “Manusia itu sentiasa dalam kerugian kecuali orang yang beriman.” Menurut seorang ustaz, kalau kita mahu menambah ibadah, tengoklah ahli ibadah yang hebat. Namun dalam bab urusan dunia, tengoklah orang yang lebih teruk daripada kita supaya kita menjadi lebih baik daripadanya.


Dalam dunia ini, perkara paling berat yang manusia hendak buat ialah beriman dengan qada dan qadar. Kita kena percaya, semua perkara terjadi atas izin-Nya. Waktu baru berubah, depan isteri dan seorang pelajar saya, tiba-tiba gitar kesayangan saya terjatuh. Mereka terdiam kerana takut saya naik hantu kerana dulu kalau barang kesayangan saya rosak atau hilang, siaplah, berasap satu badan. Namun kali ini dengan tenang saya mengangkat gitar tanpa rasa marah kerana saya anggap ia qada dan qadar daripada Allah SWT. Dah jatuh, saya hendak buat macam mana. Semua perkara terjadi atas kehendak-Nya.


Kita sudah rasai semua nikmat dunia tetapi kita tak ingat Tuhan. Hidup saya sekarang sangat bermakna kerana dapat mendekati Allah SWT. Sebagai hamba-Nya yang serba kekurangan, kita mesti tamak mencari pahala Allah SWT, bukan mengutamakan harta dunia. Kalau Rasulullah SAW yang maksum itu bertaubat 70 kali sehari, siapalah kita hamba yang hina ini. Takut dan gerunlah dengan azab Allah, insya-Allah kita akan selamat. Selalu minta pada-Nya, hendaklah kita mati dalam Islam, dalam keadaan berwuduk dan dapat mengucap dua kalimah syahadah.


Firman Allah SAW, “Dan kamu tidak mampu menempuh jalan itu kecuali dikehendaki Allah.”


“Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu dalam pandangan Allah

ialah yang paling bertaqwa.”





Wednesday, June 8, 2011

GAMBARAN HARI KIAMAT!!! SUDAHKAH ANDA BERSEDIA UNTUK

Gambaran Hari Kiamat

✐ Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
✐ Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
✐ Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
✐ Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
✐ Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
✐ Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
✐ Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
✐ Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
✐ Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
✐ Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
✐ Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.
ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.
✐ Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
✐ Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.
✐ Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.
✐ ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
✐ Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
✐ Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.
✐ Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
✐ Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.
✐ Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
✐ Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
✐ Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.
✐ Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
✐ Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.
✐ Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
✐ Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :
ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)
✐ Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
✐ Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
✐ Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
✐ Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.
Rujukan: Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al- Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.
☞ Jika sekiranya kalian ingin mengumpul saham akhirat, sampaikanlah ilmu ini kepada sahabat² yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW: ❝ Sampaikanlah pesananku walaupun satu ayat. ❞ Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
① Sedekah/amal jariahnya.
② Doa anak²nya yang soleh.
③ Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain.